Saturday, July 21, 2012

Tinggal Kenangan

Ramadan bertamu lagi. Alhamdulillah...Aku berdoa agar aku mampu melaksanakan ibadah ini dengan sempurna, Insya-Allah. Terlalu banyak yang aku rindukan apabila tibanya Ramadan. Antaranya, kenangan silam dan keakraban yang telah hilang. Dan tentunya aku rindukan dia...Aku rindukan segala-galanya tentang dia pada setiap detik.
Masih terdengar-dengar suaranya mengingatkan aku untuk berterawih dan bangun bersahur walaupun sekadar untuk minum segelas air. Walaupun boleh dibilang dengan jari kami iftar bersama-sama sepanjang aku mengenali dirinya, namun terpahat pelbagai kenangan indah apabila tibanya Ramadan. Sekiranya kami iftar bersama-sama, tempatnya adalah di rumah keluarganya atau dengan rakan-rakan sekerjanya di hospital. Seingat aku, hanya sekali kami pernah iftar berdua. Itu pun kami sekadar membeli makanan dan iftar di dalam kereta sebelum dia kembali bertugas.
Menjelang bulan Ramadan, ramai yang menyangka aku terlebih melankolik dek kenangan bersama dia. Hanya kerana aku bertanya tentang iftar, mereka menyangka aku mahukan teman untuk iftar bersama-sama. Sebelum aku mengenalinya dan setelah 10 tahun dia pergi aku sudah terbiasa iftar seorang diri di rumah meskipun kadang kala terselit keinginan untuk merasai meriahnya iftar beramai-ramai. Jarang-jarang sekali aku merasainya kecuali apabila iftar di kampung halaman bersama-sama keluarga di penghujung Ramadan. Salahkah aku bertanya? Salahkah sekiranya perasaan sebak dan sedih menguasai apabila iftar seorang diri? Bukan tidak pernah aku iftar dengan linangan air mata. Bukan kerana rindu akan kehadirannya tetapi lebih kepada rindu akan keakraban teman-teman yang telah hilang. Rindu akan gelak tawa dan gurau senda yang sudah lama sirna.
Semoga Ramadan kali ini dapat aku jalani dengan hati yang tabah. Tabah meneruskan perjuangan menentang sakit yang bersarang di badan. Jua tabah menangani hati dan perasaan yang terlalu rapuh.

"Ya Allah, Engkau tidak pernah menguji aku melebihi kekuatanku. Masih banyak orang di sekelilingku yang lebih menderita dan kekurangan dibandingkan dengan diriku. Begitu banyak nikmat yang Engkau telah berikan kepadaku, maka berikanlah aku kekuatan dan kemudahan untuk mengasihi dan membantu sesama hamba-Mu agar kami mampu mensyukuri nikmat-Mu."


Thursday, July 5, 2012