Blur sekejap apabila terima SMS si polan bertanya kenapa aku
tak ambil polisi daripada dot dot dot. Eh! Sejak bila aku jadi public figure sampai
itu pun orang ambil tahu? Kemudian baru teringat, ini mesti gara-gara gambar yang
hayatnya tak sampai 1 jam di dinding FB aku tadi. Nampak sangat si polan tak ada
kerja duk teropong dinding FB orang. Agaknya dia ni anak murid tok bomoh
teropong tu kot...hahaha :D Berselirat otak aku fikirkan sumber mana jadi rujukan dia tentang
dot dot dot sudah teroka dunia baru. CNN? Fox News? Media tempatan yang senget sebelah? Ataupun daripada pemberita
tak bergaji yang selalu labelkan aku jahat tahap petala kelapan.
Aku iyakan saja apabila orang kata aku jahat. Dah terbukti kan?
Sudah terang lagi bersuluh. Jadi tidak ada guna untuk menidakkannya. Semua
orang tahu aku dah dibuang. Bukan senyap-senyap tapi secara terbuka. Insiden
demi insiden berlaku yang sahih menunjukkan memang aku bukan sengaja
dipinggirkan. Tak cukup dengan itu, desas-desus tersebar aku tak disenangi oleh
dot dot dot kuasa dua justeru aku perlu disingkirkan untuk menjaga hatinya. Adakah
ketidaksenangan itu datangnya dari mulutnya sendiri, aku pun tak pasti. Tak ada
angin masakan pokok bergoyang. Nampaknya banyak tangan yang menggoncang pokok
walaupun tak ada angin.
Oh, ya! Sudah terima berita terkini? Kalau belum, ini beritanya.
Secara tidak rasmi aku bukan lagi ahli dalam perniagaan yang si polan katakan memeras
keringat orang bawahan. Secara rasminya bila? Boleh diteropong atau kalau mahu
tanyalah kepada dot dot dot untuk mendapatkan jawapannya. Analoginya, cerita
aku dengan mereka sudah tamat seperti tamatnya kisah MH370 yang perjalanannya
berakhir di Lautan Hindi namun masih diselubungi misteri dan spekulasi. Usaha
mencari dan menyelamat diteruskan dalam gelora yang menggila. Ramai yang masih
menaruh harapan semoga ada pengakhiran yang baik dan menggembirakan. Untuk aku,
gelora itu terlalu ampuh. Tidak ada yang tega untuk menyelamatkan lalu aku
dibiarkan hanyut dan lemas perlahan-lahan. Semuanya akan bersemadi. Jauh di sudut
hati, aku tidak mengharapkan perjalanan aku berakhir sebegini. Namun apalah
dayaku untuk terus bertahan apabila nakhoda dengan rela melepaskan tali.