Friday, September 12, 2008

Biarlah...

Payahnya apabila diri disalahtafsirkan. Namun apa kudratku untuk membetulkan salah tafsir itu? Biarlah…
Luahanku disalahtafsirkan sebagai mencari salah dan silap orang lain. Luahanku disalahtafsirkan sebagai tidak menghormati pilihan orang lain. Seandainya tiada lagi telinga yang mahu mendengar setiap luahanku, biarlah. Aku masih ada DIA yang sedia mendengar setiap luahanku tanpa menyalahtafsirkannya.
DIA mengurniakan aku cara pemikiran yang begini bukan untuk aku mencari salah dan silap manusia lain. Sekiranya pemikiran aku ini dianggap menunjukkan pandai, biarlah. Aku tahu aku berhak untuk melihat sesuatu dari sisi yang lain tetapi bukan untuk memperkecilkan impian dan pilihan orang lain.
Aku cuba menjadi manusia yang sejujur mungkin. Namun biarlah sekiranya kejujuran aku diragui. Biarlah sekiranya setiap kata-kataku dikatakan lebih berbaur emosi daripada rasional. Biarlah sekiranya setiap kritikku dikatakan terselit cemburu dan iri hati. Biarlah. Sekurang-kurangnya aku berani berterus terang daripada mengata di belakang. Aku memilih untuk meluahkan daripada menyimpan perasaan.
Aku ini manusia yang mencari ilmu untuk belajar menjadi lebih baik. Ilmu itu untuk aku manfaatkan dan aku amalkan. Namun mata dia melihat aku masih seperti dahulu.
Aku masih dengan ‘victim stories’.
Aku menganggap aku sentiasa betul.
Aku tidak bersedia menerima ‘feedback’ dan tidak mahu berubah.
Aku suka mengkritik namun aku tidak boleh dikritik.
Aku ibarat ketam yang mengajar anaknya berjalan dengan betul.
Ya…mata dia berhak menilai aku kerana dia berkongsi ilmu untuk menolong orang lain menjadi lebih baik, tetapi di matanya aku gagal menjadi lebih baik. Dia seperti mengenali diri aku lebih dari aku sendiri. Biarlah. Hakikatnya, hanya aku dan DIA yang tahu apa yang aku peroleh dari perkongsian ilmu itu. DIA yang lebih mengetahui bagaimana aku memanfaatkan dan mengamalkan segala yang kuperoleh.
Pencarian aku tak akan berhenti di sini. Aku mahu terus mencari untuk menjadi manusia yang lebih baik. Namun mungkin DIA telah mentakdirkan bahawa perkongsian ilmu aku dan dia hanya berakhir di sini. Aku tidak mampu membayar harga ilmu dia yang selebihnya. Biarlah. Dia berhak menentukan harga ilmunya. Biarlah. Ilmu DIA ada di mana-mana. Dengan izin DIA aku akan bertemu juga dengan manusia yang bersedia berkongsi ilmu dan membimbing aku untuk menjadi lebih baik. Yang penting aku mahu.
Hidup ini penuh dengan ironi dan paradoks. Mata dia melihat aku tidak berubah tetapi matanya juga melihat aku sebenarnya berubah. Mungkin maksudnya, aku yang meletakkan diri aku di luar bukan orang lain. Biarlah. Mata dia dan mata yang lain melihat aku berubah tetapi tidak sesiapa pun yang mahu menyelami mengapa aku berubah. Biarlah. Zahirnya aku berubah tetapi banyak yang ada di dalam hati aku ini tidak pernah berubah termasuklah kasih sayang aku pada mereka.
Emosi aku, aku yang memilihnya. Namun emosi yang kupilih punya sebabnya. Tak terjadi dengan sendirinya. Mana mungkin aku menangis kalau orang membuat jenaka. Dan sekiranya dia mahu melihat aku menangis sekarang demi melihat aku senyum dan ketawa kemudiannya, biarlah. Aku hanya memohon DIA memberi aku kekuatan untuk memahami setiap perlakuan dia. Moga aku tidak pergi dalam tangisan. Moga tidak tumbuh benci dan dendam di atas air mata yang mengalir.
Untuk Sang Anonymous yang mungkin sering bertandang. Seharusnya aku membalas maki hamunmu dengan maki hamun juga. Tetapi itu bukan sikap aku. Ruang peribadi ini tidak ada sekatan untuk sesiapa namun tidak seharusnya kau mencerobohnya dengan cara yang tidak beradab. Ruang peribadi ini untuk aku meluahkan rasa hatiku tentang apa-apa saja dan tentang sesiapa saja. Apa hakmu untuk menentukan apa yang aku perlu tulis. Selama ini aku juga tidak pernah peduli kalau ada yang mahu menulis tentang aku, baik atau buruk. Aku juga tidak pernah peduli kalau ada yang tidak pernah mengabadikan tentang aku di ruang peribadinya. Itu hak masing-masing.
Sekiranya aku menulis sesuatu yang kau tidak senangi tentang idolamu, mengapa kau yang perlu lebih terasa? Itu antara aku dan dia. Meskipun kau terlalu mengagungkannya, lihatlah dia sebagai manusia. Apa yang aku tahu tentang dia tak sama dengan apa yang kau tahu tentang dia.
Aku tidak pernah merasakan diri aku sempurna dan tentunya aku tidak akan menjadi manusia yang sehebat idolamu. Aku manusia yang penuh dengan sisi gelap yang menjijikkan tetapi aku mahu menjadi manusia yang lebih baik, yang istimewa dengan cara aku sendiri. Aku tidak akan berhenti di sini, tetapi dengan izin DIA, aku tetap akan teruskan hidup dengan pilihan aku sendiri.

1 comment:

nina najwan said...

Dalam hidup ni, tak semua benda yg betul bagi kita, betul juga pada org lain. Tak semua yg betul pada org lain, betul juga untuk kita. Tuhan jadikan kita berbeza, untuk kita semua hidup bersama.

Kalau kita dapat terima perbezaan orang lain, orang juga dapat terima perbezaan kita. Kalau kita ada pilihan dalam hidup, orang lain juga ada pilihan dalam hidup.

Kadang2 kita mahu orang terima kita yg sebegini, eloklah, tapi kita juga kena terima orang yang sebegitu. Tuhan jadikan kita begini, dan Tuhan jadikan orang lain begitu.

Kalau kita yakin kita dilandasan yg kita pilih, kenapa perlu ubah haluan? Bukankah kejayaan itu datang dengan harga tertentu, yang perlu kita bayar.

Dalam hidup ini tidak ada yg kekal, kecuali perubahan. Kita tahu apa yg kita tahu, dan org tahu apa yg dia tahu. Soalnya, bolehkah kita datang dari jalan "aku tidak tahu" dan kita bermula dari situ, untuk pencarian jalan yg lebih baik dan lebih besar?

Banyak benda yg kita tak beri tahu org lain, begitu juga banyak benda yg org lain tak beritahu kita. Tak perlu gusar untuk apa yg orang lain tak beritahu, itu hak dia, dan dia ada sebab berbuat begitu, sama juga dengan kita.

Ilmu hidup ini, ada dimana2, cuma mungkin masanya tidak sama untuk setiap kita mendapat ilmu itu, dan mungkin bukan saja masa tidak sama, mungkin juga tempat juga berbeza. Kalau Tuhan kata itu belum untuk kita, tentu DIA menetapkan sesuatu yg lebih baik untuk kita.

Menagislah bila perlu, ketawa juga bila perlu, tapi tangis dan ketawa hanya seketika, yg lamanya, perjalanan hidup ini. Kita kritis dan org lain juga kritis. Kita jujur, org lain juga jujur, kita berterus terang, org lain juga berterus terang, kita menyatakan apa didalam hati, org lain juga menyatakan apa didalam hati - dan semua ini, kita buat cara kita, org lain buat cara org lain - mungkin itu namanya maklum balas - ambiklah yg baik utk kita, biarkan yg tak perlu utk hidup kita.

BIARLAH - mungkin ini perkataan paling mudah, tapi semudah itukah hidup ini? Kita tahu diri kita, org lain tahu diri mereka. Kadang2, kita tahu sedikit dari seluruh cerita, dan org lain juga tahu sedikit dari seluruh cerita, ada banyak yg tak tercerita. Kenapa tidak duduk sekali, dan habiskan cerita hidup ini? Pada kita hanya ada pilihan kita, pada org lain, ada pilihan org lain.

God bless you.