Tuesday, October 7, 2008

Cinta, Sayang dan Rindu...

Apabila kita mencintai seseorang sebenarnya kita telahpun merelakan hati untuk dilukai. Apabila kita telah menyayangi seseorang, sesungguhnya kita telahpun membenarkan diri untuk dibenci. Apabila kita terlalu merindui seseorang, kita telahpun bersedia untuk dilupakan. Meskipun amat terseksa tapi itulah hakikat hidup dan pengajaran yang perlu dirasai apabila kasih tak berbalas.

Ada masanya kita tidak perlu lagi menoleh ke belakang andainya sejarah silam hanya melukakan hati namun ada ketikanya kita perlu mengingati biarpun terasa pedih kerana ada seseorang yang bermakna menghiasi pengalaman hidup yang pernah kita lalui.


Ada masanya kita terpaksa lepaskan peluang yang lalu di depan mata, ada waktunya kita terpaksa lepaskan sesuatu yang tak mungkin kita miliki kerana selalunya hakikat hidup tak akan sama dengan kebetulan yang kadang kala tak disangka.


Kadang kala apa yang kita inginkan tak akan sama dengan apa yang kita harapkan. Ada kalanya apa yang kita harapkan tak akan sama dengan apa yang kita impikan kerana impian hanyalah ilusi, harapan hanyalah kemahuan yang cuba kita gapai, sedangkan segalanya belum tentu untuk dijadikan realiti.


Kasih sayang bukan hanya sekadar ucapan, bukan sekadar memiliki tapi kasih sayang adalah sesuatu yang memberi kita kekuatan dan makna sebuah perhubungan. (hmti)

No comments: