Tuesday, October 16, 2012

Ceritera Kehidupan


Ceritera I

xxxxxxx: akk da x ngam ngn abg xxxxx ker. brg akk die xmo beli. kt fb xpnh pn tgk die like @ komen pape kt akk pnye. kt ank die migrain de jer huhuhu

Galau hati ini membaca bait-bait kata yang disertakan dengan beberapa lagi ayat yang menggores parut lama. Cukup-cukuplah mengingatkan aku pada sebaris nama itu. Aku pasti dia masih wujud dalam hati insan-insan yang bahagia dengan kehadirannya. Dia masih punya tempat yang istimewa mungkin. Namun tidak perlulah melukakan hati ini kerana aku tidak ingin dendam dan benci bertapak dalam sanubari. Yang ada hanyalah kasih. Yang nista dibalas dengan mesra. Yang kesat dibalas dengan jalan selamat – diam. Malah aku mahu menjadi yang pertama menghulur maaf, walau bukan aku yang memulakan khilaf. 

Ceritera II

Istikharah sepanjang Ramadan meminta petunjuk daripada-Nya. Didatangi mimpi namun tidak diletakkan harapan di situ namun dalam setiap doa, tidak pernah putus bermohon pada-Nya, perkara yang sama.
Dia datang dalam mimpi. Apakah itu petunjuk?
Dalam hati yang sudah sesak ini hanya muat-muat untuk dia seorang, dia yang selalu membuat aku tersenyum, dia yang selalu membuat hati resah gelisah, dia yang selalu membuat aku  merintih dek makan hati.
Dia menjadi apa yang dia mahu dan aku tidak pernah memaksa dia menjadi orang lain. Cuma satu pinta aku pada-Nya untuk dia. Dan doa itu tidak pernah berubah sejak itu.

Ceritera III

Aku rasa sesak apabila dihimpit dengan keadaan yang sebegini. I have told you that I am not available. I am not able to love more than one guy at a time. Apabila aku katakan hati aku sudah diberi kepada orang lain maka hormatilah apa yang telah aku katakan. Simpan hasrat hati itu diam-diam.  
Aku tahu apa yang aku lakukan dan aku tahu apa yang aku mahu. Setiap hari aku berdoa semoga dikurniakan apa yang aku mahukan. And yes, I have no doubt that GOD knows the best dan aku tidak pernah sesekali menolak ketentuan-Nya. 
Sekali lagi, dalam hati aku yang sudah sesak ini hanya muat-muat untuk dia seorang. Letaklah berlian sebesar dunia sekalipun aku tidak akan berganjak kerana seluruh perasaan yang ada ini bukan berasaskan material semata-mata. Dan selagi rasa hormat, rasa sayang aku masih ada untuk dia, hati ini tidak mungkin akan berubah pada yang lain, kerana sudah lama aku belajar untuk setia.


P/S: Bak kata seorang teman, cinta tidak perlu diungkap dan tidak perlu dicanang ke seantero benua. Cinta akan jadi lebih indah jika ia disimpul rapi dan disimpan kemas-kemas. Andai kecundang di tengah jalan, hanya kita-kita sahaja yang tahu :-)

Tuesday, October 9, 2012

Lafaz Yang Tersimpan

Mengapakah sukar menyusun bicara meluahkan rasa menuturkan sayang. Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar tingkah, cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia.

Apakah yang hilang andai dilisankan bait penghargaan penuh kejujuran. Tak mungkin terlihat cinta yang merona jika hanya renungan mata yang bersuara bukan tutur kata.

Tiada lagi ertinya pengucapan andai akhir nafas di hujung helaan sebelum mata rapat terpejam. Usah biar kehilangan menggantikan lafaz yang tersimpan.

Thursday, October 4, 2012

What I Long For


I visited him this morning. I never forget to visit him but today I really need to talk to someone. It’s better to talk to someone whom I know will never respond to me rather than to talk to someone who is alive but not listening.
Sememangnya aku tidak ada sesuatu yang besar atau istimewa untuk dikongsikan. Sekadar perkara biasa yang berlaku dalam kehidupan seharian. Anekdot suka dan duka. Yang pastinya, cerita aku tidak sepenting mana. Menarik, jauh sekali. Memang hidup aku tiada apa-apa untuk dibanggakan. Impian aku terlalu kecil jika dibandingkan dengan mereka. Justeru, aku berasa terlalu kerdil apabila berada dalam kalangan mereka. Langsung aku faham apabila mereka tidak pernah mahu mendengar kerana ada yang lebih besar untuk dikejar. Ada yang lebih bermanfaat untuk diladeni. Apa dikisah aku yang tak punya apa-apa ini.
Sebenarnya aku lebih banyak menangis daripada berkata-kata. Sebak. Berjauh hati.
I left. Deep wounded, still.

Published with Blogger-droid v1.6.7

Saturday, September 15, 2012

Tak Mengapa...


Sekejap tadi aku bercerita kepada DIA tentang dia. Apabila aku bercerita tentang dia, cerita aku penuh dengan rasa rindu. Aku cuba menahan diri, untuk tidak menangis. Dengan dia sentiasa ada kenangan yang indah jadi aku tidak boleh menangis apabila bercerita tentang dia...tetapi kala aku imbas semula saat aku menatap dia buat kali terakhir, luruh segala hiba...dan memang aku berharap dia bangun pada waktu itu, dan aku akan memeluk dia kuat-kuat, kerana setiap titisan air mata yang mengalir aku berdoa.... ABANG BANGUNLAH! 
Sekejap tadi juga sebelum akhirnya aku bercerita kepada DIA, aku cuba mencuri masa beberapa insan yang aku fikirkan mungkin mempunyai kesempatan menadah telinga waima untuk seketika. Namun ternyata masa mereka begitu berharga untuk dibazirkan buat mendengar cerita seorang aku. Meskipun disertakan dengan sedikit gambaran, itu tidak menggugah mereka untuk melontarkan walau satu pertanyaan tentang apa yang aku harungi pada saat ini. Tak mengapalah...



Saturday, July 21, 2012

Tinggal Kenangan

Ramadan bertamu lagi. Alhamdulillah...Aku berdoa agar aku mampu melaksanakan ibadah ini dengan sempurna, Insya-Allah. Terlalu banyak yang aku rindukan apabila tibanya Ramadan. Antaranya, kenangan silam dan keakraban yang telah hilang. Dan tentunya aku rindukan dia...Aku rindukan segala-galanya tentang dia pada setiap detik.
Masih terdengar-dengar suaranya mengingatkan aku untuk berterawih dan bangun bersahur walaupun sekadar untuk minum segelas air. Walaupun boleh dibilang dengan jari kami iftar bersama-sama sepanjang aku mengenali dirinya, namun terpahat pelbagai kenangan indah apabila tibanya Ramadan. Sekiranya kami iftar bersama-sama, tempatnya adalah di rumah keluarganya atau dengan rakan-rakan sekerjanya di hospital. Seingat aku, hanya sekali kami pernah iftar berdua. Itu pun kami sekadar membeli makanan dan iftar di dalam kereta sebelum dia kembali bertugas.
Menjelang bulan Ramadan, ramai yang menyangka aku terlebih melankolik dek kenangan bersama dia. Hanya kerana aku bertanya tentang iftar, mereka menyangka aku mahukan teman untuk iftar bersama-sama. Sebelum aku mengenalinya dan setelah 10 tahun dia pergi aku sudah terbiasa iftar seorang diri di rumah meskipun kadang kala terselit keinginan untuk merasai meriahnya iftar beramai-ramai. Jarang-jarang sekali aku merasainya kecuali apabila iftar di kampung halaman bersama-sama keluarga di penghujung Ramadan. Salahkah aku bertanya? Salahkah sekiranya perasaan sebak dan sedih menguasai apabila iftar seorang diri? Bukan tidak pernah aku iftar dengan linangan air mata. Bukan kerana rindu akan kehadirannya tetapi lebih kepada rindu akan keakraban teman-teman yang telah hilang. Rindu akan gelak tawa dan gurau senda yang sudah lama sirna.
Semoga Ramadan kali ini dapat aku jalani dengan hati yang tabah. Tabah meneruskan perjuangan menentang sakit yang bersarang di badan. Jua tabah menangani hati dan perasaan yang terlalu rapuh.

"Ya Allah, Engkau tidak pernah menguji aku melebihi kekuatanku. Masih banyak orang di sekelilingku yang lebih menderita dan kekurangan dibandingkan dengan diriku. Begitu banyak nikmat yang Engkau telah berikan kepadaku, maka berikanlah aku kekuatan dan kemudahan untuk mengasihi dan membantu sesama hamba-Mu agar kami mampu mensyukuri nikmat-Mu."


Thursday, July 5, 2012