Friday, November 28, 2008

Pabila Hati Dah Jemu

Hujan belum berhenti. Sejak tadi. Hujan di hati kian lebat.
Lembar-lembar kertas dengan catatan bertarikh 11/11/2007 aku baca satu persatu. Hampir semuanya tercatat ungkapan “I Love You”. Itulah isi hati mereka pada ketika itu. Ya…pada ketika itu. Hari ini semuanya mungkin sudah berubah. Mungkin ada hati dah jemu. Mungkin ada sayang yang dah beku. Entah…semuanya hanya MUNGKIN. Aku tidak mampu menebak hati manusia lain. Yang terzahir hanyalah tingkah laku dan tutur kata yang kadang kala mencerminkan isi hati.
Hati ini menangis mengenangkan sukarnya menjadi manusia yang tidak ‘diiktiraf’. Sukarnya menjadi manusia yang bukan siapa-siapa. Sukarnya menjadi manusia yang bijak dan matang. Sukarnya menjadi manusia yang kuat dan tabah. Sukarnya meluah rasa hati kerana setiap kata-kata dijustifikasi. Tapi tolonglah fahami aku…
Aku juga manusia seperti mereka. Aku juga punya derita yang aku simpan seperti mereka. Aku juga mahu dibelai dengan kata-kata sayang seperti mereka. Aku juga mahu rajukku dipujuk seperti mereka.
Jangan kerana aku ini dianggap kuat dan tabah, aku tak perlukan itu semua. Jangan kerana aku ini dipandang bijak dan matang, aku harus menelan segala caci dan nista. Jangan kerana aku ini bukan siapa-siapa, aku diperlakukan seperti aku tak pernah memberi apa-apa.
Sekali lagi tolonglah fahami aku…setiap baris kata yang kulontarkan itu bukannya kerana aku tak mensyukuri nikmat Tuhan. Setiap baris kata yang kuluahkan itu bukannya kerana aku mengharapkan balasan atas segala yang pernah aku beri. Setiap baris kata yang tercatat itu hanya untuk menyedarkan kau dan sesiapa jua bahawa aku ini manusia biasa.
Seandainya benar ada hati dah jemu, renungkanlah… Kasih sayang tidak hanya benar pada ketika itu tapi akan kekal benar buat selamanya.

Selamat Hari Lahir Faiq...Semoga sentiasa dilindungi Allah dan membesar sebagai anak yang soleh.

No comments: