Aku pandang langit-langit kelambu yang berwarna putih. Cantik.
Aku mengiring ke kanan. Nampak laut berbalam-balam dari tingkap yang terbuka luas. Indah.
Sayup-sayup kedengaran alunan ombak. Damai.
Cantik, indah, damai namun hati aku pusang. Teringat-ingat bahasa kesat yang diterima melalui sistem pesanan ringkas. Hati tetap tersentuh walakin berkali-kali aku cuba memujuk diri sendiri. Kebanyakan manusia sikapnya memang begitu. Apakala mahukan sesuatu baik pertolongan mahupun sokongan, resminya elok sekali. Ibarat menanam tebu di bibir. Beria-ria mahu bertemu muka dengan alasan tidak manis menerima tanpa bertentang mata. Dapat sahaja apa yang diinginkan sikapnya lantas berubah. Jarang-jarang bertanya khabar dan akhirnya langsung hilang. Ada tak ada layanannya seperti aku ini pengemis. Cakapnya acuh tak acuh diselangi kata-kata sindiran. Sibuk sentiasa walhal untuk orang lain masanya selalu ada. Yang lebih hebat, aku dicerca dengan kata-kata yang melukakan hati tetapi apabila dalam kesusahan anak dara tua tak sedar diri inilah yang menghulurkan tangan. Si sakit jiwa yang hina inilah yang sanggup mengikat perut dan melupakan sejenak keseronokan hidup untuk memastikan kalian masih ada rumah untuk berlindung dan keperluan keluarga kalian dapat dipenuhi. Bilamana aku bersuara, aku dituduh mengungkit dan meminta balasan. Aku disuruh diam kerana itu pilihan aku. Ya… aku memilih untuk terus memberikan madu walhal aku terima racun sebagai balasannya.
Aku tidak sekali-kali mahu mengungkit apalagi meminta balasan. Namun ada masanya, aku juga perlukan pertolongan dan sokongan seperti orang lain. Lalu salahkan aku memintanya daripada mereka yang pernah aku bantu? Aku tidak berharap. Sekadar mencuba kalau-kalau nasib menyebelahi. Kadangkala yang aku minta itu bukan wang ringgit. Ketika itulah, hati sering terluka. Tidak mengapa jika kalian tidak mahu membantu tapi perlukah menggores perasaan aku dengan sikap tidak peduli kalian? Kalian sanggup berbohong. Kalian terlalu berkira dengan apa sahaja yang melibatkan aku. You take me for granted.
Kadang-kadang aku sengaja menduga. Mahu melihat siapakah yang sudi bersusah payah bersama. Nol. Dalam diam aku juga jadi pemerhati. Melihat mereka yang meneruskan kelangsungan hidup dengan menidakkan hak orang lain. Sanggup berbohong dan akhirnya terbelit dengan cerita bohongnya sendiri. Mulut mengatakan kesempitan wang tetapi masih mewah dengan kehendak yang sentiasa terisi. Masih ada wang untuk ke sana sini. Masih ada wang untuk makan di luar. Masih ada wang untuk memiliki telefon model terkini dan gajet yang canggih. Aku pandang telefon bimbit yang rasanya sudah berusia lebih 7 tahun. Banyak jasanya. Belum pernah membuat onar sehingga menyusahkan aku. Namun entah apa dosanya, sentiasa diejek-ejek kerana ketinggalan zaman. Aku sendiri terkadang malu dengan pandangan mata yang melihat. Tatkala orang sekeliling bergaya dengan iPhone, Android dan Blackberry, aku masih dengan model yang lama :-)
Apabila terlalu memikirkan perkara yang besar, manusia kerap lupa perkara yang kecil. Yang dianggap remeh. Yang dikatakan tidak penting. Lupa untuk memandang ke kiri dan ke kanan kerana terlalu asyik memandang jauh ke hadapan. Lupa menghargai kerana ia selalu ada.
Avillion, PD.
No comments:
Post a Comment