Pabila aku luahkan rasa rindu pada dia yang telah pergi, kau cemuh aku kerana mengenang masa lalu. Kau kata, yang ada hanyalah masa sekarang bukan masa lalu yang tak akan kembali mahupun masa hadapan yang belum pasti. Lalu aku diam.
Pabila aku bercerita tentang rasa yang terpendam, kau herdik aku tanpa mahu mendengar hingga ke akhirnya. Kau kata, aku yang harus menggapainya dengan kudrat sendiri bukan berharap mahupun menagih ihsan daripada usaha orang lain. Lalu aku diam.
Pabila aku berkongsi tentang harapanku, kau membayanginya dengan impian-impianmu yang jauh lebih agung dan hebat. Kau kata, segalanya perlu jelas dengan pendirian bukan hanya mimpi kabur mahupun khayalan tanpa sebarang natijah. Lalu aku diam.
Sesungguhnya diam ini terlalu menyakitkan. Dalam diam, luka yang ada kian membengkak dan bernanah. Dalam diam, kekuatan kian hilang. Dalam diam, nafas terasa kian pendek.
Dalam diam, aku tetap merindui dia yang telah pergi. Juga kau yang dahulu.
Dia dan kau sangat jauh berbeza tetapi kau mungkin tak pernah tahu, seperti dia, kau juga mampu memberikan aku kekuatan.
Aku sudah lama kehilangan dia. Kini, dalam diam, aku kehilangan kau walaupun kau ada.
No comments:
Post a Comment