Wednesday, April 23, 2014

Antara Hujan dan Air Mata

Lagi berita daripada radio karat…

“Akk xwish bday ank abh? Abh da wish pg2 agi. Akk dlu ade abh wish pg2 ker? Huhuhu…xlamer lg abh kuar bmw taw. T akk mkn asp jew la tkt pki gen2. Akk da xbukak fb kn? Cer tgk nih [disertakan print screen FB sebuah kereta mewah dan komen-komennya].”

Bro, cukup-cukuplah mengingatkan aku tentang kisah lama yang melukakan hati. Tidak perlu sampaikan perkara yang tidak ada kena-mengena dengan aku. Aku juga hampir setiap hari bekerja siang malam sehingga menjelang subuh untuk mencari rezeki seperti mereka. Bezanya, aku tidak memberitahu seluruh dunia dan aku tidak pernah tertarik dengan material yang menjadi simbol kemegahan mereka. Juga, jangan andaikan setiap daripada mereka ingin bermegah. Ada yang sekadar mengambil hati sifu yang memberikan ilmu. Perlu jadi hamba yang setia dan menurut kata walaupun kadangkala terpaksa bersikap hipokrit dan mengorbankan prinsip. Bukan sekadar berjemaah membuat duit tapi berjemaah mengiyakan kata-kata sifu dan menyokong ahli jemaah yang lain walaupun ada masanya bertentangan dengan kehendak sendiri.  Kata orang, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak. Masuk kandang harimau pastilah kena mengaum sama.

Memang aku rasa terganggu kerana seboleh-bolehnya aku tidak mahu lagi mengambil tahu apa-apapun tentang mereka. Dengan diam dan menjauhkan diri secara tersiratnya mereka telah memberi isyarat bahawa aku tidak ‘sekufu’ dengan mereka. Aku tahu aku tidak layak untuk terus berada dalam hidup mereka. Mungkin ada yang sudah memadamkan nomborku dalam memori telefon mereka dan mungkin ada yang sudah lupa arah ke rumahku. Mungkin mereka ingin menunjukkan bahawa mereka lebih aman dan bahagia hidup tanpa aku. Air mata tidak pernah berhenti mengalir tatkala mengenangkan apa yang berlaku. Busuk sangatkah hati aku sehingga dianggap hendak menyekat rezeki orang. Jahat sangatkah diri ini sehingga berjumpa denganku atau berhubung denganku boleh menghilangkan rezeki. Kalau begitu, pergilah jauh-jauh dariku. 

Kalau sudah tahu peritnya hidup dihina seperti anjing, kenapa perlu menghukum dan menyiksa hidup orang lain dengan melayannya seperti anjing juga. Walaupun aku dilayan sedemikian rupa namun aku tidak putus-putus berdoa dan akan terus berdoa semoga mereka sentiasa dimurahkan rezeki serta sentiasa dalam lindungan-Nya. Semoga dipermudahkan semua urusan mereka. Semoga mereka tidak hanya menjaga ukhwah dalam kalangan jemaah mereka mencari rezeki sekarang tetapi turut menjaga ukhwah dengan sesiapa sahaja di luar jemaah termasuk individu-individu yang pernah bersama-sama di saat jatuh bangun mereka sebelum ini. Semoga Allah membukakan hati mereka untuk tidak melupakan tanduk apabila sudah dapat gading bertuah. 

Ya Allah...Kau tetapkanlah hatiku untuk menghalalkan segala-gala yang telah kuhalalkan. Meski hati ini sudah remuk redam, Kau peliharalah ia agar tidak dinodai dengan rasa benci dan dendam. Kau jauhilah aku daripada sifat dengki dan khianat. Suburkanlah kembali sifat memaafkan yang kian hilang serta kurniakan aku ketabahan dan kekuatan dalam menempuh ujian-Mu.

Selebat hujan yang turun
Mencurah membasahi bumi
Tidak selebat hujan
Di dalam jiwaku...

Let's wipe the tears and go home!

No comments: