Thursday, March 27, 2014

Public Figure?

Blur sekejap apabila terima SMS si polan bertanya kenapa aku tak ambil polisi daripada dot dot dot. Eh! Sejak bila aku jadi public figure sampai itu pun orang ambil tahu? Kemudian baru teringat, ini mesti gara-gara gambar yang hayatnya tak sampai 1 jam di dinding FB aku tadi. Nampak sangat si polan tak ada kerja duk teropong dinding FB orang. Agaknya dia ni anak murid tok bomoh teropong tu kot...hahaha :D Berselirat otak aku fikirkan sumber mana jadi rujukan dia tentang dot dot dot sudah teroka dunia baru. CNN? Fox News? Media tempatan yang  senget sebelah? Ataupun daripada pemberita tak bergaji yang selalu labelkan aku jahat tahap petala kelapan.
Aku iyakan saja apabila orang kata aku jahat. Dah terbukti kan? Sudah terang lagi bersuluh. Jadi tidak ada guna untuk menidakkannya. Semua orang tahu aku dah dibuang. Bukan senyap-senyap tapi secara terbuka. Insiden demi insiden berlaku yang sahih menunjukkan memang aku bukan sengaja dipinggirkan. Tak cukup dengan itu, desas-desus tersebar aku tak disenangi oleh dot dot dot kuasa dua justeru aku perlu disingkirkan untuk menjaga hatinya. Adakah ketidaksenangan itu datangnya dari mulutnya sendiri, aku pun tak pasti. Tak ada angin masakan pokok bergoyang. Nampaknya banyak tangan yang menggoncang pokok walaupun tak ada angin.
Oh, ya! Sudah terima berita terkini? Kalau belum, ini beritanya. Secara tidak rasmi aku bukan lagi ahli dalam perniagaan yang si polan katakan memeras keringat orang bawahan. Secara rasminya bila? Boleh diteropong atau kalau mahu tanyalah kepada dot dot dot untuk mendapatkan jawapannya. Analoginya, cerita aku dengan mereka sudah tamat seperti tamatnya kisah MH370 yang perjalanannya berakhir di Lautan Hindi namun masih diselubungi misteri dan spekulasi. Usaha mencari dan menyelamat diteruskan dalam gelora yang menggila. Ramai yang masih menaruh harapan semoga ada pengakhiran yang baik dan menggembirakan. Untuk aku, gelora itu terlalu ampuh. Tidak ada yang tega untuk menyelamatkan lalu aku dibiarkan hanyut dan lemas perlahan-lahan. Semuanya akan bersemadi. Jauh di sudut hati, aku tidak mengharapkan perjalanan aku berakhir sebegini. Namun apalah dayaku untuk terus bertahan apabila nakhoda dengan rela melepaskan tali.